Jumaat, 25 Jun 2010

Kunta Kinte original: Usah abai keselamatan bekalan makanan


2010/06/24

MINGGU ini Kunta Kinte nak ulang cakap pasal kebimbangan Kunta Kinte mengenai dasar pertanian. Kunta Kinte takut kita ni cakap tak serupa bikin dalam hal pertanian ini.

Baru-baru ini Kunta Kinte baca berita, kata Bernas cadang nak kurangkan pengeluaran beras Super Tempatan 15 (ST15) kalau kerajaan kurangkan subsidi padi.
Ikut kata Pengerusi Bernas, Datuk Syed Abdul Jabbar Syed Hassan, kerajaan bagi subsidi RM720 juta setahun kepada penanam padi. Kalau tak silap Kunta Kinte, bukan subsidi terus daripada kerajaan, tapi ‘cross-subsidy’ daripada pengguna beras.
Beras ST15 ni adalah beras gred rendah yang paling murah di pasaran. Asalnya ia dikeluarkan khas untuk pengguna berpendapatan rendah, termasuk penanam padi sendiri, di bawah Rancangan Subsidi Beras Untuk Rakyat atau singkatannya SUBUR.

Bernas bimbang kalau subsidi dipotong dan harga beras naik, pengusaha restoran mungkin curi beli ST15. Kunta Kinte rasa ini akan berlaku sebab restoran dan penjual nasi tentu hendak jimatkan kos supaya keuntungan mereka kekal. Caranya ialah curi beli beras ST15 yang murah yang dikeluarkan khas untuk pengguna pendapatan rendah.

Inilah buruk dan baik subsidi. Subsidi sepatutnya bantu golongan miskin, tapi mudah disalahgunakan dan susah hendak dikawal. Orang kaya pun tumpang sekaki.

Tapi kalau kerajaan tak bagi subsidi, harga beras akan naik dan ramailah pengguna berpendapatan rendah yang susah. Petani, rasa Kunta Kintelah, masih boleh tanam padi kalau dibenar jual pada harga pasaran. Kalau harga padi tinggi, harga beras pun tentulah lebih mahal.
Itu pun belum tentu lagi pasal penanam padi kita mungkin tak boleh lawan penanam padi di Siam, Myanmar dan Vietnam yang mana kos pengeluaran rendah dan hasil tinggi.

Akibatnya, ramai penanam padi mungkin tak tanam padi lagi dan biarkan sawah mereka jadi belukar macam dah jadi di Melaka dan Negeri Sembilan. Pada masa tu, kita kena bergantung kepada pasaran dunia yang naik turun naik.

Kita kena ingat, kita tanam padi bukan semata-mata kerana kita ada tanah, tapi kita taman padi sebab kita nak wujudkan keselamatan makanan (food security), takut-takut bekalan putus kerana perang atau padi diserang penyakit.

Sekarang ini dunia boleh kata aman. Bekalan dan pengaliran makanan lancar, asalkan ada duit. Tapi kita kena berjaga-jaga. Cuaca dunia semakin tak menentu. Serangan penyakit, kemarau dan banjir semakin kerap terjadi.

Salah satu sebab harga beras, gula dan gandum naik adalah kerana selama hampir 10 tahun Australia alami kemarau. Baru tahun ini hujan semula. Australia adalah pembekal utama beras, gula dan gandum di rantau sebelah sini.

Pada kadar pengeluaran biasa, beras Australia boleh penuhi keperluan 40 juta manusia di seluruh dunia sehari, kata Presiden Persatuan Pengeluar Beras Australia, Les Gordon. Pada 2008, pengeluaran beras Australia jatuh kepada hanya dua peratus akibat kemarau.

Bukan masalah cuaca saja yang ancam bekalan dan harga makanan dunia. Permintaan semakin naik. Penduduk dunia makin ramai. Negara yang ramai penduduk macam China dan India tambah maju. Rakyat mereka mampu makan lebih banyak.

Tengok sajalah nasi yang berlonggok dimakan pekerja asing di negara kita. Satu pinggan mereka makan tiga pinggan kita.

China dan India yang dulu eksport makanan, sekarang dah mula import. Tak cukup taman padi di dalam negara sendiri, China sekarang buka ladang berjuta hektar di Afrika.

Jadi kita kenalah fikir panjang dan berhati-hati apabila buat dasar atau rancangan babitkan pertanian, apatah lagi yang kena mengena dengan makanan dan keselamatan makanan negara.

Tak kiralah cadangan nak kurangkan subsidi atau nak buka pasaran kepada bekalan dunia. Kita kena ingat, belum tentu harga akan turun dan bekalan akan melimpah kalau kita bergantung semata-mata kepada import.

Kunta Kinte rasa kita kena imbangkan antara nak jimat perbelanjaan kerajaan dengan kebajikan rakyat jelata serta keselamatan negara. Macam mana kita nak dahulukan rakyat kalau makanan mahal atau bekalan tidak cukup. Keselamatan negara pun tak terjamin kalau negara kurang bekalan makanan.

Jadi fikirlah dalam-dalam. Dengarlah keluh kesah dan rintihan rakyat jelata. Jangan dengar cakap penasihat ekonomi yang senang lenang dan kaya raya saja. Maaf cakaplah, orang kaya dan orang senang ni, kadang-kadang tak daftar jadi pengundi pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan